Jan 14 2012

jdk-utara68BATU AMPAR, 14 Januari - Seramai 68 orang dengan jayanya telah menamatkan Kursus Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) di peringkat Zon Utara di Batu Ampar Resort, Perak baru-baru ini.

 

JDK yang dijalankan selama tiga minggu penuh dengan pengalaman yang mencuit hati peserta dan juga semua yang terlibat mengendalikan program ini sejak hari pendaftaran sehinggalah ke penghujung program. Banyak perubahan diri yang telah berlaku di dalam diri semua peserta yang menunjukkan nilai-nilai positif dan pada mulanya mereka merasa bosan untuk mengikuti program sebegini.

Abd Hanif Abd Halim, 18 berkata pada mulanya dia berasa bosan untuk mengikuti program ini kerana terpaksa berkampung di sini selama 22 hari. "Selepas beberapa lama kemudian hati saya berasa terisi dengan aktiviti yang dijalankan di sini dan saya merasakan program seperti ini tidak ada di tempat lain kerana kesemua modul-modul dikaitkan dengan Maha Pencipta," katanya. Menurutnya, dia berharap JDK dapat dilaksanakan lagi pada tiap-tiap tahun kerana ini dapat mengelakkan pelajar lepasan SPM daripada membuang masa begitu sahaja.

LAMBAIAN TERAKHIR...Peserta lelaki JDK Zon Utara bersama YDP Haluan Negeri Perak, Tuan Haji Amran Yeop Zahari dan Pengerusi Kelab Belia Haluan Ipoh (KBHI), Encik Muhammad Fadhli bin Razali melambai sebelum pulang ke kampung halaman.

LAMBAIAN TERAKHIR...Peserta lelaki JDK Zon Utara bersama YDP Haluan Negeri Perak, Tuan Haji Amran Yeop Zahari dan Pengerusi Kelab Belia Haluan Ipoh (KBHI), Encik Muhammad Fadhli bin Razali melambai sebelum pulang ke kampung halaman.
Ahmad Mujahid Yazid, 18 berkata sepanjang dia berada di dalam program JDK ini dia dapat bangun awal untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah bersama semua peserta JDK dan ini merupakan satu proses untuk dirinya. "Paling yang saya tidak lupa sekali adalah aktiviti pengurusan jenazah kerana ini mengingatkan saya tetang kematian yang saya akan hadapi bila-bila masa sahaja lagi," katanya.

Maryam Kamilah Ahmad Sani, 18 berkata mulanya dia tidak mahu menyertai JDK yang dianjurkan pada kali ini kerana dia pasti mendapat perkara yang sama semasa di sekolah dahulu. "Bila saya mengikuti sahaja program di sini saya merasakan diri saya ini masih lagi kurang ilmu dan kurang lagi persediaan untuk masuk ke institut pengajian tinggi," katanya. Menurutnya, sepanjang dia berada di sini dapat memantapkan lagi penguasaan ilmu agama dan dia dapat terus bersemangat untuk membantu program JDK yang akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Mar Haneem Basmi, 18 berkata dia mendapat banyak penglaman yang baru terutama sekali dengan mengenal apa itu Islam yang sebenar sepanjang dia berada di sini. "Sebelum ini saya memang tidak ada pendedahan mengenai Islam yang sebenar tetapi di sini alhamdulillah Allah izinkan saya untuk mengenal dan membaca Al-Quran dan zikir Mathurat bersama rakan-rakan saya yang lain," katanya. Menurutnya, dia berharap program JDK ini dapat di uar-uarkan dengan lebih meluas lagi kerana masih ramai yang belum merasai program seperti ini.

Kem Komander, Ahmad Alwafi Idris yang sepenuh masa bersama peserta dari mula pendaftaran hinggalah ke majlis penutupan melihat banyak perubahan yang berlaku di dalam diri peserta JDK Batu Ampar kali ini. "Sepanjang pemerhatian saya, mereka semua menunjukkan menunjukkan kematangan dan sifat kerjasama yang amat baik sebagai seorang remaja yang petah berbicara. Menurutnya, kesemua peserta JDK lelaki mengambil inisiatif untuk bangun subuh sendiri dan mereka tolong kejutkan rakan mereka untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Timbalan Kem Komander, Nawwar Nadhirah Azizi berkata ini merupakan pengalaman pertama kali berkhidmat dan dia banyak belajar daripada peserta sepanjang JDK Zon Utara bagi sesi 2011/2012. "Saya sentiasa bertegas dengan semua peserta dalam setiap perkara tetapi tetap berlembut dengan mereka dan saya sayang mereka semua macam adik sendiri," katanya. Nawwar berkata lagi, dia berharap kepada semua peserta JDK Zon Utara kali ini dapat menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang Muslim dan Muslimah serta sentiasa menjaga hubungan dengan Allah setiap masa.

Majlis penutup dihadiri oleh Mantan YDP HALUAN Perak, Tuan Haji Abdul Afif Abdul Kader selaku Pegawai dari Ibu Pejabat Mara Kuala Lumpur sekali gus merasmikan penutupan JDK Zon Utara kali ini. Beliau berkata, program ini merupakan satu persediaan awal bagi semua peserta JDK untuk menghadapi cabaran semasa melangkah ke alam IPT kelak dan menyarankan agar kesemua lepasan JDK dapat berkhidmat untuk melakukan kerja-kerja yang diredhai oleh Allah.

Oleh Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

Tempat Adalah Terhad!

Program ini akan dibuat secara serentak pada tarikh yang sama di 4 lokasi yang berbeza. Bilangan peserta bagi setiap zon terhad seramai 100 orang sahaja.

Daftar Secara Online

Who's Online

We have 9 guests and no members online